OKTOBER 2022

Sarawak Rekod Lebihan Dagangan RM52.7 Bilion Pada 2021


KUALA LUMPUR: Sarawak merekodkan lebihan dagangan mencecah RM52.7 bilion tahun lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lebihan dagangan itu yang berterusan juga telah berkembang dari 2020.

"Malahan, lebihan dagangan itu telah berkembang dari RM36.3 bilion pada 2020 kepada RM52.7 bilion pada 2021," katanya ketika  Makan Malam Gala dan Majlis Penganugerahan Foruml Perniagaan Muslim Global 2022, di sini, semalam.

Awang Tengah berkata, barangan eksport utama Sarawak adalah LNG, minyak sawit, petroleum mentah dan produk petroleum manakala barangan import ialah mesin dan peralatan pengangkutan, baja, makanan, minuman dan barangan perkilangan seperti bahan binaan.

"Rakan dagangan utama kita ialah Jepun, China, India, Korea Selatan dan Semenanjung Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau juga mengumumkan  Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi Forum Perniagaan Muslim Global Kedua di Kuching pada Julai tahun 2023. 

Katanya, dengan forum itu kementerian berharap dapat mempamerkan tarikan Sarawak dalam perdagangan, perniagaan dan peluang pelaburan kepada pelabur dan usahawan antarabangsa.

"Saya berharap peserta antarabangsa dan serantau dari seluruh dunia akan menyertai Forum Perniagaan Muslim Global 2023 yang akan diadakan di Kuching," katanya.

Awang Tengah juga percaya forum terbabit akan menandakan permulaan kepada komuniti perniagaan tempatan untuk meneroka lebih lanjut dan mewujudkan kerjasama terhadap potensi sektor ekonomi termasuk dalam industri halal.

Sumber dari : Jiwa Bakti